BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

I made this widget at MyFlashFetish.com.

Followers

Tuesday, January 25, 2011

pimpinlah tangan IBU semasa IBU masih boleh berjalan...
renunglah mata IBU semasa IBU masih boleh melihat....
berbuallah dengan IBU semasa IBU masih boleh mendengar....
berilah ucapan sayang pada IBU semasa IBU masih boleh memahami......

Saturday, January 15, 2011

iBu SeOrAng PeniPu

Pada suatu pagi yang hening dan tenang, tika burung sedang berkicau, aku baru saja bersiap untuk pergi ke sekolah. Aku kelihatan begitu segak sekali. Keluar saja aku dari bilik, ibu sudah menghidangkan sarapan di ruang makan. Aku memandang ibu ku sambil tersenyum, dan ibu membalas kembali senyumanku itu. Lalu ibu memanggil ku untuk bersarapan. Ubi rebus yang ibu hidangkan begitu sedap bila dicecah dengan sambal. 


Aku memandang ibu lalu bertanya, "Ibu mengapa tidak makan sekali?"


"Ibu sudah makan tadi nak, sewaktu kau sedang bersiap," sambil terukir senyuman di wajah ibu. 


Namun, aku tahu ibu sedang menipuku, dia masih belum bersarapan. Kami hanya tinggal dua beranak saja, ayah telah lama meninggalkan kami berdua. Ibulah yang mencari nafkah dan membesarkan aku selama ini.


Pulangnya aku dari sekolah pada tengah hari, aku terus makan. Ibu pula masih di pasar menjual sayur, dan hanya pulang pada jam dua petang. Ibu kelihatan begitu penat sekali apabila dia pulang, dan terus masuk ke bilik. Aku mulai pelik, ibu selalunya tidak begitu, selalunya dia pasti akan berbual dengan ku terlebih dahulu. Bertambah pelik lagi, ibu tidak keluar-keluar lagi dari biliknya dari pukul dua hinggalah ke pukul enam petang. Aku nekad, aku terus masuk ke bilik ibu. Aku melihat ibu sedang terlantar di dalam bilik. Ya Allah, apa yang sedang berlaku ini. Aku memegang dahi ibu, dahinya sungguh panas. Barangkali ibu demam. 


"Ibu, kita pergi jumpa doktor ya, ibu demam ni." 


Ibu sekadar menggelengkan kepalanya lalu berkata "Tak mengapa nak, esok lusa elok lah demamnya, lagipun bukannya teruk sangat demam ibu ni." 


Sekali lagi aku ditipu oleh ibu. Kenapa ibu suka sangat menipu aku. Dahinya sungguh panas tadi. Aku tahu yang ibu tidak mahu membazirkan duit kerana ingin menampung kos aku untuk ke sekolah, sehingga tidak mahu berjumpa doktor.


Kini aku telah dewasa dan berkerjaya. Seperti kebanyakan orang, aku terlalu sibuk sehingga tidak sempat menelefon ibu untuk bertanya khabar, apatah lagi menjenguknya di kampung. Suatu hari, aku berkesempatan jua menelefon ibu untuk bertanya khabar. 


"Assalamualaikum ibu. Ibu sihat? Dah makan ibu? Duit belanja cukup tak?" 


Ibu membalas sambil terbatuk-batuk, "Waalaikumsalam. Ibu batuk sikit saja ni, esok lusa baiklah. Duit yang kau kirimkan bulan lepas pun tak habis diguna lagi, banyak lagi." 


Mendengarkan suara ibu yang terbatuk-batuk itu, aku mula rasa tidak sedap hati. Namun apakan daya, aku hanya mampu berdoa pada yang Esa supaya ibu diberi nikmat kesihatan. Keesokan harinya, aku menerima panggilan dari Mak Piah, jiran dan rakan karib ibu di kampung. Tiba-tiba jantung aku berdebar-debar, aku bertanya kepada Mak Piah, 


"Ada apa Mak Piah telefon ni?" 


Aku sungguh terkejut mendengar jawapan dari Mak Piah sehingga jatuh terjelupuk ke lantai. 

"Ibu telah meninggal dunia..."

Patutlah semalam aku risau tatkala mendengar ibu terbatuk-batuk. Mak Piah memberitahu sudah masuk dua bulan ibu menghidap batuk kering. Ibu sering batuk berdarah tetapi tidak mahu ke hospital, ibu tidak menggunakan duit yang aku kirim untuk berbelanja, sebaliknya duit itu dia gunakan untuk membeli tanah di hujung kampung untukku, ibu hanya makan apa yang ditanamnya di kebun. Pada saat ini aku masih terfikir, mengapa ibu sering menipu aku walau ajal hampir kepadanya?


Kini, setelah ibu pergi untuk selamanya barulah aku tahu mengapa ibu sering menipu aku. Itu pun setelah aku bertanya kepada Mak Piah. Mak Piah memberitahu, naluri seorang ibu ini berlainan, ibu sanggup menahan lapar dan sakit demi untuk anaknya. Aku sungguh sedih, lantas bercucuran air mataku jatuh ke bumi. Aku sungguh terharu dengan pengorbanan ibu selama ini kepadaku. Ya-Allah, kau tempatkanlah ibuku di kalangan hamba-hamba-Mu yang solehah. Amin...


KISAH NERAKA JAHANNAM

Dikisahkan dalam sebuah hadis bahawa sesungguhnya neraka Jahannam itu adalah hitam gelap, tidak ada cahaya dan tidak pula ia menyala. Dan ianya memiliki 7 buah pintu dan pada setiap pintu itu terdapat 70,000 gunung, pada setiap gunung itu terdapat 70,000 lereng dari api dan pada setiap lereng itu terdapat 70,000 belahan tanah yang terdiri dari api, pada setiap belahannya pula terdapat 70,000 lembah dari api. Dikisahkan dalam hadis tersebut bahawa pada setiap lembah itu terdapat 70,000 gudang dari api, dan pada setiap gudang itu pula terdapat 70,000 kamar dari api, pada setiap kamar itu pula terdapat 70,000 ular dan 70,000 kala, dan dikisahkan dalam hadis tersebut bahawa setiap kala itu mempunyai 70,000 ekor dan setiap ekor pula memiliki 70,000 ruas. Pada setiap ruas kala tersebut ianya mempunyai 70,000 qullah bisa.Dalam hadis yang sama menerangkan bahawa pada hari kiamat nanti akan dibuka penutup neraka Jahannam, maka sebaik sahaja pintu neraka Jahannam itu terbuka, akan keluarlah asap datang mengepung mereka di sebelah kiri, lalu datang pula sebuah kumpulan asap mengepung mereka disebelah hadapan muka mereka, serta datang kumpulan asap mengepung di atas kepala dan di belakang mereka. Dan mereka (Jin dan Manusia) apabila terpandang akan asap tersebut maka bergetarlah dan mereka berlutut dan memanggil-manggil, "Ya Tuhan kami, selamatkanlah." Diriwayatkan bahawa sesungguhnya Rasulullah S.A.W telah bersabda : "Akan didatangkan pada hari kiamat itu neraka Jahannam, dan neraka Jahannam itu mempunyai 70,000 kendali, dan pada setiap kendali itu ditarik oleh 70,000 malaikat, dan berkenaan dengan malaikat penjaga neraka itu besarnya ada diterangkan oleh Allah S.W.T dalam surah At-Tahrim ayat 6 yang bermaksud : "Sedang penjaganya malaikat-malaikat yang kasar lagi keras." Setiap malaikat apa yang ada di antara pundaknya adalah jarak perjalanan setahun, dan setiap satu dari mereka itu mempunyai kekuatan yang mana kalau dia memukul gunung dengan pemukul yang ada padanya, maka nescaya akan hancur lebur gunung tersebut. Dan dengan sekali pukulan sahaja ia akan membenamkan 70,000 ke dalam neraka Jahannam.

KeRaNa KaU MaTa HaTiKu

Hari ini aku pulang dari kerja agak awal dari biasa. Memandangkan hari masih awal, aku mengambil kesempatan untuk berjalan-jalan di sekitar ibu kota. Sekadar melepaskan penat bekerja seharian. Hmm…sudah lama aku tidak berkesempatan mengambil angin seperti petang ini. Seronok pula rasanya walaupun manusia sentiasa memenuhi segenap ruang disana sini. Sedang aku leka melihat barang-barangan yang dijual di sekitar Masjid India, aku terlihat sekumpulam manusia sedang leka berkerumun melihat sesuatu. Pastinya sesuatu yang menarik!

Terdetik juga dihati ini ingin melihat apakah yang melekakan mereka semua sehingga langsung tidak berganjak dari tempat mereka berdiri. Entah mengapa hatiku semakin kuat meronta-ronta ingin melihat apabila orang ramai yang mengerumuni bertepuk tangan. Seolah-olah mereka sedang melihat ahli silap mata membuat magic. Aku juga pelik dengan perasaanku yang tiba-tiba ini. Mungkin ianya sesuatu yang menarik? Mungin juga…siapa tahu.

Ketinggian yang ku miliki langsung tidak membantu ku melihat. Puas ku cuba berasak-asak dengan mereka yang lain. Harapanya dapatlah ku kehadapan bagi melihat dengan jelas lagi ‘panorama’ didepan sana. Namun, hanya bau-bauan yang tidak tertahan menghidangi hidungku ini. Masam…masin… manis…semua ada!


Tidak mahu mengalah, aku bergerak ke sebelah kanan pula. Ya! Dari sini aku nyata boleh melihat dengan jelas. Namun apa yang terpampang dihadapanku hanyalah perkara biasa… seorang pelukis jalanan yang sedang tekun melukis potret seorang wanita. Dikelilingnya juga penuh dengan lukisan potret pelbagai wajah.

Memang tidak disangkal, lukisan-lukisan nya semua tampak hidup. Cantik! Tapi apa yang dipelikkan? Di sekitar bandar raya ini juga setahu ku terdapat ramai lagi pelukis jalanan. Namun, tidaklah terlalu mendapat perhatian seperti pemuda ini.

Apa istimewanya lelaki ini? Adakah wajahnya kacak sehingga meraih perhatian? Tapi serasaku tidak logik pula. Kalau benar pun pemuda itu terlalu kacak, pastinya dia hanya mendapat perhatian gadis-gadis saja. Namun kini bukan saja para gadis, ‘mak-mak’ dan ‘bapa-bapa’ juga turut setia melihat.

Takkan orang KL tak pernah tengok orang melukis potret??? Ada baca ayat ‘guna-guna’ ke??? Alamak…terlebih sudah! Hehehe. Aku cuba mengintai wajah pemuda itu tapi gagal kerana kedudukannya membelakangi ku. Yang kelihatan hanyalah lukisan potretnya yang hampir sempurna siap.

Selagi aku tidak melihat wajah pemuda itu dan keistimewaanya, hatiku ini tidak akan puas. Mungkin bukan rezeki ku hari ini.Esok aku akan datang lagi…

***

“Lewat kau balik, Wan?” Hadi yang melihat sahabatnya itu terkial-kial membawa perkakas lukisan ditangan turun membantu.

“Hmm…ramai sangat pelanggan tadi. Tak menang tangan aku…” Ikhwan menghela nafas. Penat siang tadi masih belum hilang.

“Yeke? Alhamdulillah…murah rezeki kau, Wan.” Hisyam yang sedang leka menonton drama Impak Maksima, menyampuk.

“Alhamdulillah. Aku pun tak sangka di bandar besar macam ni masih ada rezeki menanti untuk orang macam aku ni.” Wajah Ikhwan berubah mendung.

Melihat akan perubahan di wajah sahabat mereka itu, Hadi dan Hisyam mendekati. Mereka tahu apa yang difikirkan Ikhwan itu.

“ Wan, dahlah tu. Sebagai hamba Allah, kau kena redha dengan Qada dan Qadha nya.” Hadi menepuk-nepuk bahu sasa sahabatnya sebagai tanda semangat. Hisyam disebelah mengangguk tanda mengiyakan.

Ikhwan seyum. Dia tahu Hadi dan Hisyam merupakan sahabat yang baik…di masa senang mahupun susah. Dia berasa sungguh bertuah dapat memiliki sahabat sebaik mereka.

“Aku tahu. Terima kasih Hadi…Syam.”

Ikhwan bangkit. Berlalu ke bilik. Badan harus dibersihkan dan diri ini pula memerlukan rehat secukupnya kerana esok masih banyak tugas yang menanti.

***

Masjid India, 10 pagi…

Sengaja aku datang ke sini lebih awal hari ini. Niatku bukan untuk membeli-belah tetapi memburui agenda yang tidak kesampaian semalam.

Dari jauh sudah kelihatan orang ramai sudah berpusu-pusu mengelilingi pelukis jalanan itu. .Hmm! Nampaknya ada lagi yang lebih awal dari aku. Cuma ia tidaklah seramai semalam. Mungkin hari masih awal.

Naluri ku kuat mengatakan lelaki ini pasti ada yang ‘istimewa’ tentangnya kerana semalam dia turut hadir dalam mimpiku. Walaupun begitu, wajahnya tidak jelas kelihatan. Sesungguhnya, kehadirannya mengundang misteri kepadaku. Siapa dia???

***

Masjid India, 10 malam…

Jam sudah menjengah ke angka 10 malam. Aku masih disini. Setia menati si dia. Hanya memerhati dari jauh. Tidak pernah aku membuat kerja segila ini!

Untuk mendekatinya terus serasa tidak sesuai kerana dia begitu sibuk melayan ‘pelanggan-pelanggannya.’ Oleh itu, aku membuat keputusan menantinya sehingga dia selesai melakukan ‘tugasnya’ untuk malam itu.

Sewaktu dia sedang leka mengemas perkakas lukisannya, aku terus menjalankan misi ku yang tertangguh kelmarin.

“Encik, boleh tolong lukiskan potret saya?” Aku pura-pura bertanya. Sengaja ingin mengumpanya bersembang denganku.

“Maaf, cik. Saya dah nak balik ni. Hari pun dah lewat. Cik datang esok saja ye.” Dia tidak memandangku. Tangannya tangkas mengemas tanpa mempedulikan kehadiranku. Ape…tak cantik ke aku ni?!

Dalam samar-samar cahaya itu aku dapat melihat wajahnya dengan jelas. Kacak! Matanya…keningnya… hidungnya…mulutnya… semuanya cantik terbentuk.

Aku bagaikan berada dalam duniaku sendiri. Terasa seperti jatuh cinta pandang pertama. Tetapi mengapa dia tidak memandangku? Seakan tersedar dari mimpi yang panjang, aku kembali ke alam nyata.

“Encik, tolonglah. Satu potret je.” Aku merayu lagi. Dengan harapan dapat mengenalnya dengan lebih dekat.

Panas hati ku ini apabila rayuanku sedikit pun tidak diendahkannya. Sudahlah aku menantinya dari pagi sehingga malam menjelma, boleh pula dia buat tidak tahu!

Tanpa aku sedar, aku merampas semua berus lukisan yang entah berapa batang ditangannya dengan kasar. Ke semua berus lukisan itu bertaburan jatuh ke tanah. Aku tergamam sendiri dengan sikapku yang tiba-tiba itu. Namun,dia dengan selamba tunduk mengutip berus-berus itu tanpa memarahiku langsung. Terdetik rasa bersalah dihati tapi….

Aku terperanjat apabila tangannya teraba-raba mencari dan mengutip berus-berus yang jatuh tadi. Aksinya seolah-olah dia tidak nampak di mana kedudukan berus lukisan tersebut. Aku terpaku memandangnya. Mungkin terasa diri diperhatikan, dia menghentikan perbuatannya.

“ Kenapa? Terkejut? Tak sangka?” Bertubi-tubi soalan dia ajukan padaku.

“Err…awak…” Belum sempat aku menghabiskan kata-kataku….

“Ya! Saya buta. Puas?” Aku terperanjat dengan kenyatan yang diberikan.

“Tapi…” Aku tidak mampu meneruskan kata-kata seterusnya.

“Kuasa Allah. Segala yang diberikan adalah kurniaanNya yang tak ternilai…” Dengan perlahan dia mengungkapkan kata-kata itu yang menusuk ke jantung hatiku.

Barulah kini ku tahu mengapa dia mendapat perhatian ramai. Dia melukis dengan mata hati. Walaupun buta, tapi setiap lukisannya seolah-olah dia nampak apa yang dilukis. Dalam diam, aku mengagumi dirinya.

***

Dua tahun kemudian…

“Ikhwan…Suri nak tanya cikit boleh?” Aku memberanikan diri bertanya.

“Hahaha..sejak bila pulak kalau Suri nak tanya, Ikhwan kenakan cukai? Tak ada kan? Tanya aje lah…” Dia ketawa. Seakan-akan satu jenaka pula padanya.

“Emm… kalau Wan dapat melihat semula, Wan nak kahwin dengan Suri tak?” Aku memandang tepat ke matanya. Matanya celik namun siapa sangka pemuda kacak ini tidak cukup satu pacaindera yang tak ternilai harganya..

Kali ini ketawanya semakin galak. Aku hanya membatukan diri.

“ Wan, Suri tak main-main…” Tanpa dipaksa, air mataku menitis. Dia bungkam.

“Suri, Suri sendiri tahu Wan ni macam mana. Wan tidak sesempurna orang lain. Wan tak layak bergandingan dengan Suri. Wan buuu…” Cepat-cepat aku meletakkan jari telunjuk ke mulutnya.

Sesungguhnya, aku tidak mahu perkataan akhir itu keluar dari mulutnya. Aku ikhlas menyayanginya. Dan aku yakin dialah jodoh yang telah tersurat oleh Allah kepadaku.

“Hmm…” Ikhwan mengeluh panjang.“Suri, seandainya Tuhan takdirkan Wan dapat melihat semula, Wan akan mengawini Suri. Ini janji Wan!” Ayat terakhirnya benar-benar menbuat hatiku berlagu riang.

Aku akan nantikan saat itu…

***

Suatu pagi…

“Hello, Suri.” Awal pagi itu aku mendapat panggilan dari Ikhwan.

“Wan, kenapa ni tiba-tiba aje call?” Biasanya dia tidak akan menelefonku seawal hari ini.

“Good news! Tak lama lagi Wan akan dapat melihat semula…” Suaranya kedengaran begitu ceria.

“ Betul ke ni?” Aku sungguh gembira dengan berita yang disampaikan Ikhwan. Dalam hati, aku mengucap syukur kehadratNya.

“ Iye, sayang. Minggu depan operation .” Dari suaranya, aku tahu dia sudah tidak sabar lagi melihat dunianya kembali.

***

Sebulan kemudian…

“Suri! Kenapa Suri cuba jauhkan diri dari Wan?” Walaupun hanya berbual melalui telefon, suaranya jelas kedengaran tegang.

Ya! Selepas Wan mendapat ‘mata barunya’, aku sudah tidak menghubunginya lagi mahupun berjumpa. Kali terakhir aku berjumpanya sehari sebelum dia diusung ke bilik pembedahan. Sengaja igin menatap wajah Ikhwan sepuas-puasnya.

“Suri…cakaplah. Kenapa diam? Suri tak suka Wan dapat melihat semula?” Aku diam. Tiada kata yang mampu ku ungkapan.

“ Suri..kalau Wan tahu akan jadi begini, Wan sanggup untuk tidak melihat selama-lamanya asalkan Suri tak jauhkan diri dari Wan.” Nada suara Ikhwan berubah kecewa.

Dihujung talian, hanya esak tangisku saja yang kedengaran. Bukan aku tidak mahu bertemu Ikhwan tapi ada rahsia yang harus ku sembunyikan dari pengetahuannya.

“ Wan nak tatap wajah ‘mata hati’ Wan ni. Dan… Wan nak kabulkan janji Wan dulu pada Suri. Kita jumpa, ok?” ‘Mata hati?’ Aku tersenyum mendengar perkataan yang disebut Ikhwan itu.

***

Aku setia menanti Ikhwan di tempat dimana dia pernah melukis dulu. Di sini jugalah tempat pertemuan pertama kami dulu. Sengaja aku datang lebih awal sebelumnya. Apakah reaksinya nanti apabila melihatku?

Ikhwan sampai tepat pada masanya. Sewaktu dia sampai ditempat yang dijanjikan bersama Suri, kelihatan seorang gadis buta turut berada di situ. Dia berasa serba salah samada mahu terus ke sana atau menanti saja Suri di tempatanya berdiri.

Jantung aku pula tiba-tiba saja berdegup kencang. Aku dapat merasakan seperti Ikhwan sudah berada dekat dengan diri ini.

Entah mengapa tiba-tiba saja kaki Ikhwan laju saja melangkah ke arah di mana gadis buta itu berada. Seolah-olah gadis itu menggamit Ikhwan datang kepadanya.

Dengan ringan mulut, Ikhwan menegur. “Err…maafkan saya Cik. Cik dah lama ke duduk dekat sini?” Sekilas dia memandang wajah gadis buta itu. Cantik! Sudah lama dia tidak melihat keindahan ciptaan Ilahi itu.

“Ikhwan??? Awak Ikhwan kan?” Ikhwan terkejut kerana gadis buta itu tahu namanya.

“Ya..saya Ikhwan tapi macam mana…” Belum sempat Ikhwan menghabiskan kata-katanya,gadis buta itu bersuara lagi.

“ Sebab saya Su..Suri…” Menggeletar aku menyebut namaku sendiri.

Adakah lelaki dihadapanku ini terkejut apabila mengetahui gadis buta yang dilihatnya itu adalah aku? Bagaimanakah reaksinya? Sayangnya aku tidak mampu melihat.

“Suri??? Betul ke awak ni Suri? Ikhwan tahu Suri dulu tak macam ni kan?” Agakkan ku tepat sekali. Ikhwan benar-benar terkejut.

Yang bermain-main di hatiku kini sanggupkah dia menerimaku seperti dulu? Sanggupkah dia menunaikan janjinya dulu padaku? Aku pasrah andainya dia tidak mampu menerimaku seperti dulu. Aku terima takdirNya andainya dia bukan untukku lagi.

“Ya Allah…Suri, kenapa Suri sanggup buat ini semua? Kenapa Suri?” Ikhwan memegang bahuku dengan kedua belah tangannya. Kuat!

“Sebab Suri sayangkan Ikhwan. Suri nak Wan tahu Suri sanggup berkorban apa saje demi cinta kita ni. Dan paling penting, Suri nak tengok Wan melihat semula. Walaupun Suri tak dapat melihatnya tapi Suri gembira.” Aku senyum.

“Suri nak tengok Wan melihat semula tapi Suri…” Suara Ikhwan kedengaran sedih. Benar-benar menyentuh naluri wanitaku ini. Aku terdengar satu esakan kecil dekat ditelingaku.

Tanganku meraba-raba wajah kacak milik Ikhwan. Walaupun aku tidak boleh melihat lagi tapi aku tahu dia tetap lelaki paling kacak yang menghuni hatiku ini. Wajahnya basah. Ya! Ikhwan menangis. Aku seperti tidak percaya air mata lelaki ini tumpah jua akhirnya. Tidak semena-mena, air mataku mengalir. Bukan kerana menyesal mendermakan mata milikku kepada putera hatiku ini tapi hatiku benar-benar terkilan kerana telah menyebabkan air mata lelakinya tumpah.

“ Suri, Suri tahu tak pancaindera yang satu ini penting sangat? Suri tahu tak betapa besarnya pengorbanan yang Suri dah buat ni?” Ikhwan menyeka air mataku. Mata-mata yang melihat langsung tidak dipedulikan.

“Suri tak perlukan lagi…” Pendek aku menjawab.

“ Tapi kenapa?” Suara Ikhwan kedengaran terkejut.

“Sebab… Ikhwan mata hati Suri. Suri boleh melihat dan merasa getaran melaluinya” Aku senyum lagi.

Perlahan-lahan aku merasakan pegangan tangan Ikhwan semakin kejap pada tanganku. Terasa diri ini teramat dekat dengan dirinya.

“Suri..” Ikhwan memalingkan tubuhku mengadapnya.

“Sudikah Suri menjadi permaisuri hidup Wan? Bukan untuk seketika tapi untuk selamanya…” Kata-katanya lembut menusuk terus ke jantungku.

Aku tersenyum dan mengangguk setuju. Itulah satu-satunya ayat keramat yang aku tunggu-tunggu selama ini.

Terima kasih Tuhan kerana menemukan diriku dengan lelaki ini. Aku yakin dialah jodohku kerana Kaulah mata hatiku. Selama-lamanya…

~ hati SeoranG AdAm~

Pernah satu ketika dahulu aku begitu mengharapkan sebuah percintaan yang sejujurnya dari seorang insan bergelar hawa. Mungkin kerana diri yang begitu yakin akan menemui impian ku itu, aku tidak pernah terfikir untuk gagal dalam cinta. Mana bisa kecundang…aku seorang yang amat baik hati, suka membantu, suka memberi hadiah, penyayang, begitu mengambil berat kepada dia yang aku sayangi… merindu adalah satu sifat ku…dan akan ku kejar cinta itu selama-lamanya.

Bagi hati lelaki ku ini, pendirian ku adalah pendirian hawa jua. Jika aku jujur, ikhlas menyayanginya, sudah pasti dia begitu. Sememangnya sehingga kini aku masih berpendapat begitu. Mengapa harus curang sekiranya lelaki ini begitu baik, begitu sayangkannya…

Tetapi seperti ramai yang mengenali diri ini, sesungguhnya aku selalu gagal, malah gagal dan gagal lagi. Namun, dalam masa yang sama aku juga pernah mengecapi rasa dicintai, disayangi, dirindui sebagaimana aku jua mencurahkan segala-gala rasa ku kepada hawa. Lalu, aku tidak pernah mahu putus asa untuk terus memburu cinta yang kuidamkan.

Apa aku bisa menggapainya?...aku sendiri tidak pernah tahu. 

Apakah dengan lagak ku yang perkasa, aku tidak bisa terkecewa? Apakah langkah tegap ku maka aku bisa menerowong gunung? Apakah dengan ayat-ayat cinta, tutur yang berbisa, suara yang lunak maka aku bagai Malaikat yang terbang dengan beribu-ribu sayap di badannya?

Kekecewaan dalam percintaan ku sudah bagai madu dan racun, manis dan kelat. Ya! Aku juga sama seperti hawa. Mungkin aku kelihatan begitu tabah, aku mungkin tampak segak bergaya dan bagai berani merempuh gelung api yang sentiasa cuba menyambar ku, menyelubungi rentak tari ku…tetapi jauh di sudut hati lelaki ku ini…aku juga lemah, aku juga pernah tersandung ke tanah, menangis seperti anak kecil yang hilang ibu dan ayah… 

Aku bisa berkata, jangan itu dan ini, aku juga menjadi penunjuk cara itu dan ini…namun, ianya cukup mudah untuk dilafazkan, teramat perit untuk dilaksanakan…tapi, bukankah sudah tiada jalan lain melainkan menempuh kesukaran itu untuk berjaya mengecapi cinta yang didamba? Sebagai seorang lelaki…aku akur dengan hawa yang selalu mengatakan, “Susah, susah, susah!”…aku akur kerana aku juga memahami apa yang mereka rasa, kerana hati lelaki ku jua merasa seperti apa yang mereka rasa…Walau aku begitu ingin melihat ramai diantara mereka yang mencari kepastian dari ku, agar berjaya di akhirnya.

Tapi apakan daya ku, jika mereka sendiri mahu mengalah sebelum bertarung. Aku hanya dapat berdoa, 

“Ya Allah ya Tuhan ku…limpahkanlah kurnia mu agar semua hawa di dunia ini akan mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat…Amin!

::: CeMbUrU :::

Alia nampak dengan jelas, gadis itu keluar dari perkarangan rumah Ikwan. Alia juga nampak Ikwan menghantar gadis cantik itu dengan lambaian dan senyuman yang ranum. Kata Ikwan, gadis itu adalah kawan kecilnya. Tapi sejak gadis itu datang, Ikwan kian menjauh darinya, Ikwan kerap keluar bersama gadis itu. Hati Alia sakit!

Ikwan jarang menelefonnya kini. Malah, kalau Alia call di rumah, selalu saja keluar. Handsetnya juga selalu suruh tinggalkan pesanan suara saja, bila ditanya kenapa, kata Ikwan habis bateri. Takkan sepanjang minggu habis bateri? Kalau dapat call pun Ikwan cakap sikit saja dengannya. Seolah tidak ada lagi topik yang menarik hendak di kongsikannya bersama Alia. Alia rasa bahang perubahan sikap Ikwan. Gara-gara kehadiran gadis cantik yang pulang dari London itu. Kononnya kawan lama, entah-entah kekasih lama!

“Gadis tu kan baru je datang dari luar negara, lagi pun mereka memang sahabat rapat dari kecil, memanglah banyak yang nak dibualkan setelah sekian lama tidak berjumpa.” Alia mahu percaya kata-kata Nina yang memujuknya itu. Tapi cemburu dihati Alia masih juga meronta-ronta tak mahu kalah. Tak boleh jadik nih!

“Tapi Nina.. Wan dah berubah! Dia macam dah lupakan Lia.. macam dia dah malas nak jumpa atau sekurang-kurangnya berbual dengan Lia.. sejak kedatangan kawan baiknya yang cantik tu!” Geram Alia bila teringatkan gadis itu. Sakit hati Alia bila terbayang wajah cantik itu. Memang dia benar-benar cantik! Hidungnya lebih mancung dari Alia, kulitnya putih dan halus. Bukan seperti Alia yang berkulit sowo matang. Matanya besar dihiasi bulu mata yang panjang dan lentik serta keningnya hitam lebat. Pipinya gebu dan licin macam kulit tomato. Bibirnya mungil dan merah jambu tanpa perlu disapu gincu. Rambutnya pula panjang lurus separas dada. Hati lelaki mana yang tidak tertawan. Alia tahu beza antara dia dan gadis itu bagaikan langit dengan bumi.Alia pandang ke dalam cermin, pantulan dari cermin memaparkan wajahnya yang masam mencuka. Dia lihat keningnya yang nipis, matanya yang kecil dan bulu mata yang pendek. Kulitnya tidak sehalus dan segebu gadis itu. Bibirnya pucat saja. Kalau tidak memakai gincu langsung tidak menarik. Alia mula bencikan rupanya! Dia ingin kelihatan cantik, lebih cantik dari gadis itu!

Alia bandingkan pula dirinya dengan gadis itu, dia hanya mendapat Diploma dalam bidang Pengurusan dan sekarang jadi kerani biasa di sebuah syarikat swasta. Gadis itu pula baru habis belajar di luar negara dengan gelaran Sarjana Muda Undang-undang. Kalau dapat kerja nanti, pasti gajinya menjangkau angka dua ribu. Ah! Gadis itu umpama permata yang berharga, manakala Alia bagai pasir yang bertaburan dijalanan. Alia mengeluh lagi.

“Pasti Ikwan tidak berminat untuk bersamaku lagi.. Ikwan sudah menjumpai gadis yang sesuai dengan dirinya..” kata Alia sendirian. Alia sedar, Ikwan tidak setaraf dengannya, lelaki itu berkerja sebagai Timbalan Eksekutif di syarikat ibunya. Mereka adalah golongan berada, bukan macam Alia yang sederhana. Namun hati Alia masih berharap, dia berharap Ikwan akan kembali mesra seperti dulu. Alia ingat perkenalan mereka yang singkat tapi bermakna.

“Encik Haris ada?” itulah kata-kata Ikwan ketika masuk ke pejabatnya untuk menemui bos Alia, yang merupakan pelanggannya.

“ Emn.. dia keluar sekejap! Ada apa-apa yang saya boleh bantu?” ujar Alia sambil mengkagumi rupa paras lelaki yang berdiri didepannya. Ikwan kacak sekali. Senyumannya lembut dan suaranya lunak.

“Emn.. tak apalah! Biar saya tunggu dia..”

“Oh.. kalau begitu.. silakan..”

Ikwan duduk di meja menunggu yang menghadap meja Alia, Alia sesekali melirik pada Ikwan yang membelek-belek majalah yang tersedia di atas meja itu. Bila sedar dirinya diperhatikan, Ikwan melemparkan senyuman menawannya. Alia jadi tersipu malu. Tidak lama kemudian bosnya Encik Haris kembali. Ikwan segera masuk ke bilik pejabat Encik Haris.

Waktu tengahari, Alia turun makan di restoran berhampiran, ketika Alia menunggu pesanannya, tiba-tiba satu suara menyapa.“Boleh saya join kamu?”

Alia agak terkejut bila melihat Ikwan berdiri di tepi mejanya.

“Semua meja telah penuh..” ujarnya lagi dengan senyumannya yang mencairkan hati Alia. Alia agak tergagap tetapi mempersilakan Ikwan duduk semeja dengannya. Mereka mula berbual dan memperkenalkan diri masing-masing. Mula-mula perbualan mereka agak lembab, tapi Ikwan pandai berjenaka. Alia tak henti-henti ketawa dibuatnya. Ikwan menyerahkan kad namanya pada Alia, dia juga membayar semua harga makanan.

“Terima kasih, belanja saya makan..” ujar Alia sebelum mereka berpisah.

“Call saya kalau ada masa..” laung Ikwan sebelum pergi. Alia menggangguk. Hatinya berbunga riang.

Sejak hari itu, mereka kerap berhubung. Ikwan selalu bercerita tentang apa saja dengannya. Ikwan akan meluahkan apa saja yang ingin dikongsikannya pada Alia. Lama kelamaan hubungan Alia dengan Ikwan menjadi erat. Putik-putik cinta bersemi. Ikwan melamar cintanya pada hari lahirnya yang ke dua puluh lima tahun. Dengan sejambak bunga, kek harijadi dan seutas rantai. Alia tidak akan lupa betapa bahagianya hati wanitanya hari itu. Bagaikan seorang puteri yang mencapai impiannya.Tapi itu dulu, sebelum kehadiran gadis cantik yang baru pulang dari luar negara. Kini Ikwan semakin sibuk. Dia tidak ada masa untuk menghubungi Alia. Dia sudah ada teman lain untuk berkongsi cerita mahu pun masalah. Kalau dulu, Alialah tempat mengadu bila hatinya resah atau terlalu penat dengan kerja, kini ada gadis lain yang mengambil alih peranan itu. Alia semakin terkilan.

***************

Alia tidak menghubungi Ikwan lagi selepas dia ternampak gadis itu keluar dari rumah Ikwan. Alia tidak mahu menjadi muka tembok yang tidak tahu malu. Biarlah Ikwan menghubunginya jika lelaki itu masih ingat padanya. Alia ingin menganggap hubungannya dengan Ikwan sudah berakhir.

Dia mengambil keputusan itu setelah memikirkannya masak-masak. Walau pun tiada kata putus antara mereka, Alia lebih rela daripada mendengar kata perpisahan dari mulut Ikwan. Namun setelah dua minggu, Ikwan tidak juga menghubunginya. Hati Alia semakin remuk redam.

“Hai Lia.. mendung je muka kamu kebelakangan ni..” Sapa Harun, rakan sekerjanya.

“Kau jangan sibuklah!!”

“Eh! Marah?” Sakat lelaki itu lagi. Alia tarik muka masam. Dia memang selalu bermuram durja gara-gara hubungannya dengan Ikwan yang dingin itu.

“Aku bukan apa Lia.. tapi sebagai kawan, aku kesian juga tengok kau ni.. badan pun dah susut.. kau makan hati ya?”Harun bersuara lagi. Alia tantang muka Harun dengan tajam. Dia tidak suka orang lain masuk campur dalam hal peribadinya.

“Aku dah lama tahu hubungan kau dengan Encik Ikwan tu.. aku rasa baik kau lupakan saja dia tu.. aku rasa kau pun tahu, Helina sudah balik dari luar negara. Si cantik tu akan bertunang dengan encik Ikwan tak lama lagi.” Lancar benar Harun menceritakan hal itu. Darah Alia rasanya tersirap hingga ke umbun-umbun. Dia tidak menyangka hubungan Ikwan dengan gadis cantik itu sudah sampai ke tahap bertunang.

“Dari mana kau dapat tahu semua ni Harun?” tanya Alia was-was. Betul ke budak Harun ni? Banyak sangat dia tahu tentang Ikwan.

“Kau hairan? Aku sepupu Helina, memang la aku tahu banyak tentang dia dan Ikwan..” Sahut Harun dengan yakin. Alia tertunduk, matanya mulai terasa panas. Ada manik-manik jernih yang bertakung dibibir matanya. Sampai hati Ikwan!Hendak bertunang pun Ikwan tidak memberitahunya.

“Mereka dijodohkan oleh keluargakah?” tanya Alia lagi. Dia berharap Ikwan berbuat demikian kerana terpaksa. Alia enggan menerima hakikat kalau Ikwan benar-benar mengkhianati cintanya!

“Sudahlah Alia.. jangan berharap lagi! Helina tu memang kekasih dia.. sebelum kau bersama Ikwan lagi.”

Hati Alia hancur berkecai mendengar kebenaran itu. Jadi selama ini Ikwan menipunya. Selama ini dialah pihak ketiga. Dia hanya sebagai boneka Ikwan kala Helina tidak ada bersama. Cuma sandaran sementara saja! Patutlah Ikwan tidak memperkenalkannya pada Helina bila Helina baru pulang. Ikwan kata kawan sepermainannya dari kecil lagi baru pulang dari luar negara. Tapi sedikit pun dia tidak bersuara untuk memperkenalkan Alia pada gadis itu, jadi memang benarlah Helina adalah kekasih lama seperti jangkaan Alia!

Sakit hati Alia terasa semakin dalam. Jantungnya seakan ditikam-tikam dengan pisau yang amat tajam. Dia benci Ikwan. Dia benci Helina! Mengapa mereka melukakan hatinya. Mengapa Ikwan mencambahkan cinta dihatinya, tapi kini dengan kejam membunuh cinta itu tanpa belas kasihan!

“Kenapa dia tidak beritahu aku?” kata Alia seolah-olah bertanya pada Ikwan.

“Entahlah Lia.. dia mungkin takut kau akan berjumpa Helina dan mengaku sebagai kekasihnya.. pasti hubungannya dengan Helina akan terjejas jika itu berlaku..”

Ada benarnya juga kata-kata Harun itu, patutlah Ikwan enggan dihubungi. Dia takut rahsia hubungannya dengan Alia terbongkar.

“Harun.. aku nak cuti setengah hari, hari ini.. tolong bagitau Encik Haris, katakan aku tak sihat..” Alia mengemas mejanya. Dia ingin pulang ke rumah dan menangis sepuas-puasnya. Dia ingin meraung dan menjerit untuk melepaskan kesakitan yang sarat berbuku didadanya. Harun mengangguk. Dia kelihatan amat bersimpati dengan Alia.

Alia segera mengambil telefon bimbitnya dan mendail nombor Zarul, adik sepupunya. “Kakak ni.. tolong ambil kakak di pejabat!” kata Alia sebaik saja talian disambungkan.

“Ai! Awalnya.. ada apa hal kak?”

“Kakak tak sihat hari ni.. kau di mana sekarang?”

“Saya masih di bandar ni.. ada temuduga pukul 11.00 a.m., habis temuduga nanti saya ambil kakak macam mana?”

Alia mengeluh. Dia ingin segera pulang ke rumah. Tapi Zarul pula sibuk. Adik sepupunya itu baru tamat belajar dan sedang mencari kerja. Dia dihantar dari kampung oleh ibubapanya untuk tinggal bersama Alia sementara mendapatkan pekerjaan. Zarul akan menghantar dan mengambilnya dari kerja setiap hari. Alia baru saja membeli sebuah kereta kancil tapi dia tidak mempunyai lesen memandu. Nasib baiklah Zarul sudah mendapatkan lesen memandu, secara tidak langsung Zarul menjadi pemandu sementara kepada Alia yang baru memohon lesen memandu dan masih dalam proses pembelajaran.

“Tak apalah! Kakak naik bas saja..”

“Eh! jangan lah..! Zarul datang sekarang..”

“Kan kau nak temuduga.. nanti terlewat pula.. sekarang dah pukul 10.30 a.m..”

“Alah.. masih sempat!” Talian terus diputuskan. Alia mengeluh. Zarul berkeras mahu menghantarnya pulang meski pun dia ada temuduga. Alia terpaksa menunggu. Beberapa minit kemudian terdengar bunyi hon di luar. Alia segera keluar dan masuk ke perut kereta.

“Tengok.. sudah pukul 10.40am.. mana sempat!” ujar Alia sambil menunjukkan jam tangannya pada Zarul.

“Sempat.. bukannya jauh!” balas Zarul sambil ketawa kecil.

“Ha.. nak bawa laju lah tu! Zarul.. kakak rasa baik Zarul pergi tempat temuduga tu, kakak tunggu di kereta.” Cadang Alia.

“Emn.. idea yang baik..” Zarul setuju. Kereta segera meluncur ke tempat yang dituju.

“Eh! Kau temuduga di sini?”

Zarul angguk. Alia kenal benar dengan bangunan itu. Bangunan itu adalah milik ibu Ikwan. Jadi Zarul pergi temuduga di syarikat milik keluarga Ikwan. Alia benar-benar tidak senang hati!

“Zarul kejap saja.. kakak tunggu ya!” Zarul bergeges masuk ke dalam bangunan itu.

Alia mendengar radio sementara menunggu Zarul masuk ke dalam. Tiba-tiba sebuah kereta masuk parking benar-benar di sebelah keretanya. Alia macam kenal kereta itu, dia menoleh memandang pemandunya. Alia tersentak, Ikwan! Lantas Alia berpura-pura tidak melihat Ikwan. Alia menundukkan kepalanya sambil membaca surat khabar yang dibeli Zarul. Bila Alia sudah pasti Ikwan telah pergi barulah Alia tercangak-cangak mencari kelibat lelaki itu. Perasaannya bercampur baur. Dia pun tidak tahu mengapa dia mengelakkan diri dari bersemuka dengan Ikwan. Biarlah hubungan mereka berlalu bagai angin yang datang menyapanya untuk seketika. Rasanya tak perlu lagi Alia hendak berperang besar dengan Ikwan atau Helina. Alia sedar siapa dirinya. Kalau nak rajuk biar pada yang sayang, kalau orang dah tak sudi buat apa Alia nak terhegih-hegih menagih perhatian Ikwan. Namun jauh di sudut hati Alia, dia merasa cukup pedih dan sengsara. Cinta yang mekar di hatinya itu bukannya mudah hendak dibuang dalam sekelip mata!

Ketika dia sibuk merenungi nasib diri, tiba-tiba Zarul muncul mengetuk cermin kereta. Di belakangnya kelihatan Ikwan yang memandangnya dengan wajah penuh misteri. Alia segera membuka tingkap.

“Kakak.. saya telah diterima bekerja di sini.. emn! Ni lah bos saya.. katanya nak jumpa kakak..” kata Zarul sambil tersenyum simpul. Hati Alia menjadi tidak keruan. Dia memandang muka Zarul dan Ikwan silih berganti.

“ Emn.. boleh kita cakap sendirian..?” Kata Ikwan dengan tenang.

Alia terasa lidahnya kelu. Dia yakin, Ikwan mahu berterus terang dengannya kini. Terasa air mata mula bertakung di bibir matanya. Alia mengangguk perlahan.

“Lia naik kereta Wan?” Ikwan membuka pintu keretanya. Alia angguk lagi. Dia segera keluar dari kereta kancilnya dan masuk ke dalam kereta Honda Ikwan.

“Zarul balik dulu lah!” kata Alia pada Zarul. Zarul agak kehairanan kerana bakal bosnya mengajak kakak sepupunya masuk ke dalam keretanya pula. Tapi Zarul tidak membantah. Dia masuk ke dalam kereta dan beredar.

“Kita pergi tempat biasa?” kata Ikwan lembut. Alia tidak menyahut. Dia hanya terbayang puncak bukit di mana mereka selalu menghabiskan masa bersantai di situ. Dengan membawa sedikit bekalan, mereka seolah-olah berkelah di puncak bukit itu. Tapi itu dulu, sebelum kehadiran Helina. Alia yakin, Ikwan hendak bercakap tentang hubungan mereka pada hari ini. Mungkin hari ini adalah hari terakhir mereka mengunjungi puncak bukit yang indah itu.

“Kenapa diam?”

Alia menoleh memandang Ikwan. Ikwan melirik padanya sambil terus memandu. “ Emn.. tak ada apa..” Sahut Alia malas.

Sebenarnya dia mahu meluahkan segala yang berbuku di hatinya. Dia mahu tanya tentang Helina dan mengapa Ikwan merahsiakan hubungannya dengan Helina selama ini. Alia ingin sekali mengamuk dan meradang atas sikap Ikwan yang mempermainkan hati dan perasaannya. Namun, Alia hanya membisu, dia tidak tahu hendak berkata apa kepada Ikwan. Cintanya pada Ikwan begitu dalam dan Alia pasrah jika terpaksa mendengar khabar buruk itu hari ini.

Sepuluh minit kemudian mereka sampai di puncak bukit. Suasana tenang dan dingin. Tapi hati Alia semakin ketakutan. Takut menghadapi kata-kata perpisahan dari Ikwan. Ikwan kejam kerana mempermainkan harga dirinya. Alia tidak mahu kelihatan bodoh dengan mengamuk atau melenting pada Ikwan yang nyata menjadikannya sebagai boneka mainan. Itulah tekad Alia. Alia ingin terus bersabar!

“ Kenapa diam saja dari tadi Lia..?” tanya Ikwan lagi. Dia memandang mata Alia seolah-olah mencari-cari sesuatu di situ. Wajah Alia muram saja. Tidak ada apa-apa di matanya kecuali kedukaan.

“Cakaplah apa yang Wan nak cakap..” ujar Alia membuang pandangannya dari wajah Ikwan. Ikwan menarik nafas berat. Sukar untuk memulakan kata-kata.

“ Wan tahu, Alia kecil hati kerana Wan seolah-olah menjauhkan diri dari Lia.. maafkan Wan..” Ikwan mula membuka kata-kata. Alia mengigit bibir menahan sendu di hatinya.

“Lia pun tidak mahu menghubungi Wan lagi.. Lia juga seolah-olah tidak mahu ambil tahu tentang Wan lagi..” Sambung Ikwan.

Alia terus membisu, dia enggan berkata apa-apa. Biarlah Ikwan menyampaikan kata-kata terakhirnya sebelum mereka berpisah. Alia bersiap untuk mendengar kebenaran yang pasti menyakitkan itu.

“Biarlah Wan berterus terang dengan Lia…”

Alia segera membelakangkan Ikwan. Dia tahu apa yang bakal didengarnya. Airmatanya sudah luruh. Ikwan tidak menyedari airmata itu kerana Alia segera menyembunyikan wajahnya dengan menghadap hutan yang tebal.

“ Wan..” suara Alia serak. “ Boleh tak Wan tak payah cakap apa yang Wan nak cakap..” Alia masih membelakangi Ikwan. Suaranya bergetar, Ikwan mula perasan ada pergolakan dalam perasaan Alia. Dia ingin sekali memujuk.

“ Lia.. Wan tahu Lia merajuk! Wan tahu Wan salah.. Kita berdamai o.k?”

Alia segera berpaling ke arah Ikwan. Ikwan terharu melihat airmata Alia yang bercucuran itu. “Sampai hati Wan.. Lia tahu Lia tak sepadan dengan Wan, tapi kenapa Wan tak terus terang dengan Lia? Sepatutnya Wan tak perlu minta maaf dengan Lia.. biarkan saja Lia! Kawin sajalah dengan kekasih hati Wan tu.. sampai hati Wan permainkan perasaan Lia..” Tersembur keluar semua yang berbuku dihatinya. Wajah Ikwan nampak terkejut.

“Kenapa? Wan tak sangka Lia sudah tahu hubungan Wan dengan Helina? Wan fikir Lia tak tahu Wan nak bertunang dengannya? Cukuplah Wan.. jangan nak siksa hati Lia lagi..” Ucap Alia separuh menjerit. Ikwan tercengang memandangnya.

“ Mana Lia dapat cerita ni?”

“ Itu tak penting.. yang penting mengapa Wan permainkan perasaan Lia.. kenapa Wan mahu bersama Lia sedangkan Wan dah ada Helina..”

“ Lia.. Lia.. Lia! Wan tak faham.. mana Lia dapat cerita Wan nak tunang dengan Helina, sumpah Lia! Dia cuma kawan baik Wan dari kecil lagi. Dia bukan kekasih Wan!”

Alia mula diam, tangisnya reda mendengar kata Ikwan. Mereka berpandangan.

“Betul..?” tanya Alia sambil mengesat airmatanya. Ikwan angguk.

“Tapi kenapa Wan tak kenalkan Lia dengan dia? Kenapa Wan jauhkan diri sejak dia datang?” Wan tarik nafas berat. Dia melangkah ke keretanya dan mengambil sesuatu.

“Nah!”

Beberapa keping gambar dihulurkan kepada Alia. Alia membelek semua gambar itu. Semuanya gambar dia bersama Zarul, ketika dalam kereta, di jalan raya dan di perkarangan rumah.

“Kenapa ada gambar Lia dan Zarul..?” tanya Alia tidak faham.

“Kerana gambar inilah Wan menjauhkan diri dari Lia.. beberapa minggu lepas, satu surat dikirimkan pada Wan. Dalam surat itu ada gambar Lia dan Zarul. Kononnya Zarul adalah tunang Lia.. Lia telah ditunangkan oleh keluarga Lia.. Wan pun frust la bila dapat tahu..” cerita Ikwan dengan tenang.

“Tapi kenapa Wan tak tanya pada Lia?” Kata Alia dengan wajah yang lebih cerah. Sisa-sisa airmata sudah hilang.

“Itulah silap Wan! Wan mahu Lia sendiri yang berterus terang dengan Wan.. tapi Lia sikit pun tidak cakap apa-apa, Zarul tinggal serumah dengan Lia .. tapi sedikit pun Lia tidak memberitahu Wan.. tentulah Wan salah faham. Wan geram, marah dan benci pada Lia sebab tu Wan malas nak layan Lia.. malas nak sambut call Lia.. Manalah Wan tahu Zarul tu adik sepupu Lia.. mujurlah dia datang temuduga tadi, Wan masih cam muka Zarul dalam gambar tu. Wan memang nampak Lia dalam kereta tunggu Zarul tadi, tapi Wan tak tegur Lia kerana Wan masih salah faham dengan Lia, tapi lepas temuduga Zarul tadi, Wan tanya Zarul siapa gadis yang tunggu dalam kereta? Barulah Wan tahu Zarul adalah adik sepupu Lia.. barulah Wan tahu selama ni Wan salah faham dengan Lia.. Wan nak minta maaf, Lia?”

Alia termangu mendengar cerita Ikwan. Rupanya ada kisah yang diluar jangkaannya. Siapa pula yang mengambil gambarnya dengan Zarul dan mengatakannya bertunang? Alia keliru.

“Wan tak tunang dengan Helina?”

“Sumpah tidak! Siapa yang cakap ni..”

“Harun.. sepupu Helina! Katanya Wan memang kekasih Helina sebelum Wan bersama Lia lagi.. katanya tak lama lagi Wan akan bertunang dengan Helina.. Lagi pun Wan semakin menjauhkan diri dari Lia sejak dia datang..” jelas Alia. Dia mula ragu dengan kata-kata Harun.

“Mestilah Wan jauhkan diri dari Lia masa tu, sebab Wan marah pasal gambar Lia dengan Zarul.. Wan malas nak kenalkan Lia dengan Helina kerana masa tu Wan benar-benar salah sangka pada Lia.. maaf ye sayang..” Ikwan menarik tangan Alia dan memandang tepat ke matanya. Alia angguk sambil menarik nafas lega. Dia menyangka Ikwan hendak memutuskan hubungan tapi kini sebaliknya.

“Memang benar Harun tu sepupu Helina, tapi hairan mengapa dia nak menghancurkan hubungan kita pula?” Kata Ikwan penuh tanda tanya. Alia angkat bahu. Kini hatinya lega. Gadis cantik itu ternyata tidak ada apa-apa hubungan cinta dengan Ikwan. Rupanya semua masalah itu hanyalah salah faham dan fitnah orang lain. Cemburunya pada gadis itu hilang serta merta.

“Dan hairan.. siapa pula yang ambil gambar Lia serta hantar kat Wan? Sudah jelas ada orang yang mahu musnahkan hubungan kita?” Kata Alia pula.

“Ya! Mungkin Harun juga?” Alia mengganguk tanda setuju dengan kata-kata Ikwan itu. mereka berpandangan. Saling tersenyum. Mereka tidak peduli apakah motif Harun, yang paling penting kini mereka sudah kembali bersama.

“Maaf ya?” tanya Ikwan sekali lagi.

“Lia juga..” Balas Alia.

“Sia-sia saja Wan bencikan Lia.. tahu-tahu cuma salah faham..” Kata Ikwan sambil ketawa kecil. Teringat akan sikapnya beberapa minggu yang lepas. Seluruh isi rumah menjadi tempatnya melepaskan marah. Berbakul-bakul leteran ibu kepadanya kerana sikapnya menjadi garang tidak tentu pasal. Anak-anak buahnya di pejabat pun tidak berani curi tulang, takut pada Ikwan yang tidak semena-mena bertukar angin. Bos yang dulunya peramah dan mesra menjadi bengis tak menentu. Pantang silap sikit adalah yang kena marah! Semuanya pasal gambar yang diterimanya itu. Helina pun selalu merungut dengan perangainya yang selalu berubah angin. Hendak berlawak jenaka pun susah. Kalau senyum pun bagaikan terpaksa!

“BenarkahWan bencikan Lia?” Tanya Alia menduga.

“ Ya! Benci sangat.. benci tapi rindu..ha ha ha.. merana betul Wan menanggung rindu tidak jumpa Lia beberapa minggu. Kadang-kadang Wan harap Lia akan call atau SMS Wan.. tapi bila buka handset.. sunyi saja..” luah Ikwan tentang perasaannya ketika musim dingin hubungan mereka.

“Lia juga.. nak call Wan.. tapi teringat Helina mungkin sedang bersama Wan..” Ujar Alia pula, mereka tertawa bersama. Rupanya mereka sama saja, cemburu buta!

“Zarul cakap Lia tak sihat? Minta hantar balik rumah..” tanya Ikwan dengan muka bimbang. Muka Alia memang pucat saja tadi.

“Emn..” Alia tersenyum nipis. Kini dia kelihatan berseri-seri.

“Lia sakit apa?” tanya Ikwan lagi sambil sentuh dahi Alia.

“Sakit hati..” jawabnya dengan menahan senyum.

“Oh.. rupanya! Sakit hati kenapa boleh senyum?” ujar Ikwan setelah mendapat tahu. Dia turut senyum meleret. Alia hanya menolak bahu Ikwan dengan manja. Ikwan tertawa melihat riaksi Alia.

“Lia..” Panggil Ikwan dengan suara romantis. Alia mendongak ke arah wajah lelaki yang dicintainya itu. Rindu benar hatinya pada Ikwan. Mujurlah semuanya sudah berubah baik.

“Emn..”

“Jom kita kawin?”

Mata Alia terbelalak. Dia menatap wajah Ikwan minta kepastian akan lamaran yang tiba-tiba itu.

“Kenapa? Tak sudi?”Tanya Ikwan lagi.

“Wan lamar Lia?” Angguk.

“Bunga? Cincin? Takkan nak lamar macam ni saja?” usik Alia dengan senyum nakal. Ikwan ketawa besar. Dia menarik Alia masuk ke dalam keretanya. Alia kehairanan.

“Jom kita pergi beli bunga dan cincin!!” balas Ikwan sambil masuk ke dalam perut kereta. Kereta meluncur laju menuju ke bandaraya.

“Mulai saat ini.. kalau ada apa-apa masalah, kita mesti bincang! Jangan simpan sendiri dalam hati.. o.k?” bisik Ikwan sambil memimpin tangan Alia menuju ke kedai bunga terhampir. Alia mengangguk. Wajahnya penuh dengan senyuman bahagia. Dugaan seperti itu mungkin datang lagi. Tapi kalau saling cinta menyintai, kalau saling kasih mengasihi dan kalau saling mempercayai antara satu sama lain, apa pun dugaannya pasti dapat diredah bersama. Ternyata dugaan cinta itu berlalu juga!